Raikan Eidul Adha di Surau Al-'Izzah

Hikmah-hikmah Ibadah Korban

  • Melatih diri sanggup berkorban untuk perkara kebaikan.
  • Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak.
  • Tanda kesyukuran di atas nikmat pemberian Allah.
  • Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.
  • Mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia boleh memupuk semangat pengorbanan terhadap diri dan masyarakat.
  • Menggembirakan fakir miskin dengan pemberian daging Korban.
  • Merapatkan silaturrahim di kalangan umat Islam.

Pengertian Ibadah Korban

Korban ialah menyembelih binatang ternakan berkaki empat (Al-An’am) pada hari Raya Eidul Adha atau hari-hari tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah. Hukum ibadah Korban adalah sunat muakkad bagi yang mampu dan wajib bagi yang bernazar.  Ibadah Korban  bermula selepas naik matahari sekadar cukup untuk solat 2 rakaat dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah.

Sejarah Ibadah Korban

Ibadah Korban  dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail kerana melaksanakan perintah Allah SWT.

Walaubagaimanapun, peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada mereka berdua. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana Nabi Ibrahim sanggup menyembelih anak sendiri dan Nabi Ismail pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih. Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan mereka kepada perintah Allah lebih daripada yang lain. Lalu Allah telah menggantikan tempat Nabi Ismail dengan kambing (Qibasy). Ibadah Korban  juga dilakukan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Syarat-syarat Sah Ibadat Korban

  • Berniat Korban  ketika menyembelih.
  • Sembelihan dilakukan dalam waktunya iaitu matahari naik kadar segalah pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
  • Penyembelih orang Islam.
  • Tidak terdapat kecacatan pada binatang Korban  tersebut yang boleh mengurangkan dagingnya.
  • Binatang ternakan yang halal dimakan.
  • Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur seperti berikut:
  • Binatang                           Umur
    a.    Biri-biri/Kambing       1 tahun atau lebih
    b.    Lembu/kerbau        2 tahun atau lebih
    c.    Unta                       5 tahun atau lebih

Pembahagian Daging Korban

  • 1/3  disedekahkan kepada fakir miskin
  • 1/3  diagihkan kepada jiran dan saudara-mara yang tidak berkorban atau jamuan ramai
  • 1/3  orang yang berqurban

Lebih afdal sekiranya orang yang berkorban  itu memakan sedikit daripada daging korbannya. Haram diberikan daging Korban kepada orang kafir sama ada dalam keadaan mentah ataupun masak. Harus disedekahkan kepada orang kaya. Korban Nazar haram dimakan dagingnya oleh orang yang bernazar.

Perkara Sunat Ketika Ibadah Korban

  • Membaca basmalah atau takbir
  • Selawat kepada Nabi
  • Menyembelih pada waktu siang
  • Memilih binatang yang gemuk dan sihat
  • Disembelih oleh  orang yang berkorban
  • Binatang hendaklah dibaringkan di atas rusuk kiri dan mengadap kiblat
  • Orang yang berkorban makan sebahagian daging korban
  • Menggunakan alat sembelihan yang tajam

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *