Salam Ramadhan Kareem

Salam Ramadan Kareem kepada semua ahli kariah Surau Al-‘Izzah.

Selamat menunaikan Ibadah puasa dan mencapai darjat ketaqwaan tertinggi di sisi Allah.

Semoga Ramadan kali ini membawa penuh keberkatan dan makna untuk diri kita, keluarga, ahli kariah dan masyarakat.

Diriwayatkan dari Salman; dia berkata: Rasulullah saw telah berucap pada hari terakhir bulan Syaaban, Baginda bersabda: “Wahai manusia! Telah menaungi kamu bulan yang agung dan berkat. Bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di dalamnya satu kewajiban, qiam pada malamnya satu amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan diri (kepada Allah) dengan melakukan satu kebaikan (amalan  sunat), seolah-olah dia melaksanakan satu kewajiban pada bulan selain bulan Ramadhan, dan sesiapa yang menunaikan satu kewajiban di dalamnya (bulan Ramadhan), dia seolah-olahnya menunaikan 70 kewajiban  pada bulan selain bulan Ramadhan.

Ia adalah bulan kesabaran. Kesabaran itu balasannya ialah syurga dan bulan pembelaan kerana dalam bulan tersebut rezeki seseorang mukmin itu ditambah di dalamnya. Sesiapa yang menyediakan  majlis berbuka puasa kepada seseorang yang berpuasa, ia akan mengampuni dosanya dan membebaskan dirinya daripada api neraka, dan baginya ganjaran pahala saperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa kurang.

Lalu mereka berkata: bukan semua kami berupaya  menyediakan jamuan orang yang berbuka puasa. Lalu Rasulullah menjawab: Allah akan memberikan ganjaran yang sama ke atas sesiapa sahaja yang memberikan sebutir tamar untuk seorang yang berpuasa membuka puasanya dengannya atau  menerusi seteguk air minuman atau sesudu susu.

Ia adalah satu bulan yang awalnya rahmat, dipertengahannya pengampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Barang siapa yang meringankan (beban) hambanya di bulan Ramadan, Allah akan mengampunkan dosanya dan membebaskannya daripada api neraka.

Perbanyakkan di dalamnya 4 perkara. 2 daripadanya akan meredhakan (menyukakan) Tuhan kamu dan 2 perkara yang lain, kamu tak dapat tidak, amat menghendakinya: Ada pun 2 perkara yang akan mengembirakan tuhan kamu, iaitu: pernyataan tiada tuhan (yang benar) melainkan Allah dan kamu memohon pengampunannya . Dan 2 perkara yang kamu amat menghendakinya iaitu:  kamu memohon syurga daripada Allah dan meminta perlindungannya daripada api neraka. Barang siapa yang memberi minuman kepada seseorang yang berbuka puasa, Allah akan memberinya minuman daripada telagaku satu minuman yang membuatnya tidak akan dahaga sehinggalah dia memasuki syurga” (sahih Ibnu Khuzaimah)

Semoga Allah mengampuni segala dosa kita. Sama-samalah kita menghidupkan Ramadhan dengan mengikuti program Ihya’ Ramadhan di Surau Al-‘Izzah.

Daripada:
JK Surau Al-‘Izzah

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *