Progress Projek Menaiktaraf

Assalamualaikum,

Tuan/puan yang dirahmati Allah SWT,

Berikut adalah beberapa perkembangan semasa Pembangunan Menaiktaraf dan Tabung Surau Al-‘Izzah.

1.  Progress Projek Menaiktaraf

Kerja-kerja menaiktaraf Surau Al-‘Izzah Fasa 1 sedang berjalan dan genap sebulan pada hari Ahad (15 April 2012) ini. Foto progress pembangunan yang diambil pada pagi 14 April 2012 seperti di bawah. Kita juga telah membersih dan meratakan tanah antara sub-station TNB dan Lebuhraya DUKE yang akan dijadikan sebagai tempat parkir kereta.

2.  Perpindahan Ruang Solat Wanita

Untuk makluman semua, ekoran dari projek menaiktaraf di atas, Ruang Solat Wanita telah berpindah tempat dengan Ruang Solat Lelaki iaitu berpindah ke sebelah kiri Ruang Solat Utama sejak 11 April 2012. Signage dan tunjuk arah telah dipasang bagi mengelakkan kekeliruan. Kedudukan Ruang Solat Wanita ini kekal sebagaimana plan baru Surau Al-‘Izzah dan lebih afdal berada di sebelah kiri imam. Sebarang kesulitan semasa projek menaiktaraf surau berjalan amat dikesali.

3.  Kedudukan Tabung Pebangunan

Sehingga 7 April 2012, jumlah kutipan Tabung Pembangunan Surau Al-‘Izzah ialah sebanyak RM93K. Alhamdulillah dan jazakallahu khairan kathira kepada para dermawan. Semoga Allah memberkati dan memurahkan rezeki mereka serta menggantikan sumbangan yang diberikan dengan yang lebih baik lagi berlipat kali ganda. Doa yang sama juga kepada mereka yang mengorbankan masa dan tenaga untuk mendapatkan sumbangan ini. Untuk menyiapkan ketiga-tiga fasa kita memerlukan RM300K. Perlu tingkatkan lagi usaha. InsyaAllah kita boleh dapatkan dana ini jika diusahakan bersama-sama dengan bersungguh-sungguh. Borang sumbangan boleh lihat di http://surau-alizzah.com/v1/?page_id=64. Sekali lagi, jika tuan/puan ada kenalan dermawan yang berpotensi menghulurkan sumbangan, sila hubungi saya  (012-3203434) untuk kita menghantar surat serta proposal secara rasmi.

4.  Jualan Sijil Waqaf

Antara usaha JK Tabung & Pembangunan Surau Al-‘Izzah untuk mendapat dana ialah melalui jualan Sijil Waqaf yang telah bermula pada 8 Mac 2012 (sila lihat http://surau-alizzah.com/v1/?p=1750). Sijil-sijil waqaf ini telah diagihkan kepada AJK dan juga beberapa ahli kariah untuk dijual kepada para dermawan samaada di kalangan ahli keluarga, sahabat handai, rakan sepejabat atau sesiapa sahaja yang berminat. Hasil jualan sijil waqaf ini akan dikumpul pada 15 April 2012 untuk melihat jumlah yang telah terjual. Mohon semua wakil-wakil jualan Sijil Waqaf ini menyerahkan wang jualan kepada Bendahari Tabung En Zulkefli di Surau Al-‘Izzah mulai 15 April 2012.

Semoga usaha kita semua diberkati dan diredhai Allah SWT.

Wassalam.

Wan Mohd Zukri Che Mat Zin
SU Surau Al-‘Izzah

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *