Sumbangan Tabung Pembangunan

Assalamualaikum wm wbt,

Tuan/puan yang dimuliakan Allah SWT,

Alhamdulillah, selepas diedarkan surat rayuan sumbangan untuk projek menaiktaraf Surau Al-‘Izzah berserta brosur projek menaiktaraf pada 8 Januari 2012 yang lepas, sumbangan telah mula diterima oleh pihak surau. Sehingga 15 Jan 2012, sumbangan yang diterima untuk Tabung Pembangunan termasuk tajaan dan jualan Taqwim 2012 ialah sebanyak RM2,000 lebih. Terimakasih di atas kerjasama semua.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam surat berkenaan, setiap ahli kariah diminta untuk menyumbang sekurang-kurangnya RM50 untuk Tabung Pembangunan Surau kita ini. Congakan mudah dengan bilangan ahli kariah seramai 300 orang, sekiranya semua dapat menyumbang RM50, kita akan dapat mengumpul sebanyak RM15K atau 5% dari jumlah projek menaiktaraf sebanyak RM300K.

Sewaktu mengemukakan cadangan sumbangan dari ahli kariah ini kepada JK Pembangunan, saya tidak melihat jumlah sumbangan itu sebagai fokus utama, yang lebih penting ialah komitmen kita untuk sama-sama menyumbang kepada tabung ini walaupun sedikit, semoga dengan komitmen kita ini Allah akan mempermudahkan usaha kita untuk mendapat sumbangan dari luar.

Bagi yang belum menyumbang, rebutlah segera peluang ini. Sedekah yang ikhlas kerana Allah menjadi amalan yang berkekalan yang terus mengalir manfaatnya walaupun sesudah meninggal dunia. Sedekah merupakan perniagaan yang tidak akan merugikan si pelakunya, malah akan mendatangkan keuntungan yang berterusan dan membawa keberkatan selama hidupnya di dunia dan saham akhirat. Mereka yang gemar bersedekah akan memperoleh kebahagiaan dan akan sentiasa dekat dengan rahmat Allah lantaran kedermawanannya dalam memberikan apa saja yang Allah kurniakan kepadanya.

Sebagaimana yang dimaklumkan dalam surat tersebut, sekiranya tuan/puan mengenali individu atau syarikat-syarikat korporat yang berpotensi untuk menghulurkan sumbangan, sila maklumkan kepada SU JK Tabung (012-320 3434) atau Bendahari JK Tabung (013-6012353). Kami akan sediakan surat khas beserta kertas proposal untuk bakal-bakal penyumbang ini.

Dokumen-dokumen mengenai Tabung Pembangunan Surau Al-‘Izzah boleh dimuattorun di bawah:

  1. Surat kepada ahli kariah
  2. Brosur mukasurat 1
  3. Brosur mukasurat 2
  4. Kertas Cadangan Projek menaiktaraf Surau Al-‘Izzah

“Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan).” (Ibrahim : 31)

Sama-sama kita berdoa agar usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT.

Wassalam.

Wan Mohd Zukri Che Mat Zin
SU JK Tabung Pembangunan Surau Al-‘Izzah

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *