Rayuan Sumbangan

Ruj Kami: SAI/Pem/2011(02)

13 Safar 1433H
7 Jan 2012

Kepada:
Yang Berbahagia
Ahli Kariah Surau Al-‘Izzah
Taman Samudera

Assalamualaikum wm wbt,

Tuan/puan yang dirahmati Allah SWT,

RAYUAN SUMBANGAN UNTUK TABUNG PEMBANGUNAN SURAU AL-‘IZZAH BAGI PROJEK MENAIKTARAF SURAU AL-‘IZZAH

Semoga tuan/puan berada dalam kerahmatan dan keberkatan Allah SWT.

2.    Bagi pihak Jawatankuasa Surau Al-‘Izzah, saya ingin merakamkan ucapan terimakasih kepada semua ahli kariah yang telah bersama-sama menjayakan program Surau Al-‘Izzah sepanjang tahun 2011. Alhamdulillah, kerjasama, sokongan, sumbangan dan doa tuan/puan telah membantu mengimarahkan lagi surau kita.

3.    Merujuk kepada perkara di atas, pihak surau sedang berusaha untuk melaksanakan Projek Menaiktaraf Surau Al-‘Izzah yang melibatkan pembesaran dan penambahan beberapa ruangan untuk keselesaan jemaah dan aktiviti surau yang semakin banyak. Satu Jawatankuasa Tabung Pembangunan telah dibentuk untuk merancang dan menguruskan projek ini yang diharapkan dapat disiapkan pada pertengahan Julai 2012, iaitu sebelum Ramadhan 1433H. Maklumat projek seperti dalam brosur yang dilampirkan.

4.    Sehubungan dengan itu, mesyuarat Jawatankuasa Tabung Pembangunan yang pertama pada 6 Jan 2012 telah mencadangkan agar setiap ahli kariah Surau Al-‘Izzah memberi sumbangan sekurang-kurangnya RM50 bagi menjayakan projek ini.

5.    Di samping itu, usaha-usaha untuk mendapat dana daripada institusi-institusi berkenaan serta badan-badan korporat juga sedang dilakukan. Tuan/puan juga dialu-alukan untuk mencadangkan nama-nama individu atau syarikat-syarikat korporat yang berpotensi untuk menghulurkan sumbangan. Sila majukan cadangan tuan/puan kepada Setiausaha Tabung Pembangunan En Wan Mohd Zukri melalui telefon 012-320 3434 atau emel wmzukri@readnetwork.com.

6.    Semoga sumbangan tuan/puan diberkati dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT seperti dijanjikan-Nya dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 261 yang maksudnya:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Segala kerjasama tuan/puan diucapkan jazakallahukhairan kathira dan sama-sama kita berdoa agar usaha kita dipermudahkan oleh Allah SWT dan mendapat keredhaan-Nya.

Sekian, wassalam.

Yang diamanahkan,

Haji Desa bin Ali
Pengerusi

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *