Puasa Hari Asyura

BERPUASA PADA BULAN MUHARRAM & HARI ASYURA
(10 MUHARRAM)

Rasulullah s.a.w menggalakkan kita untuk banyak berpuasa pada bulan Muharram, sabdanya, “Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah – Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.” (Riwayat Muslim)

Dalam bulan Muharram, puasa yang paling ditekankan adalah puasa pada hari Asyura iaitu pada 10 Muharram kerana berpuasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.

Hari Asyura ialah hari di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Nuh a.s daripada tenggelam apabila bahtera yang dinaiki dapat berlabuh di Gunung Judi. Lalu Nabi Nuh berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t yang telah menyelamatkan baginda dan orang-orang beriman yang bersama dengannya.

Hari Asyura adalah hari di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa as dan pengikut-pengikutnya dari ancaman Firaun dan tenteranya. Lalu Nabi Musa dan kaumnya berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t.

Riwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah ibn Abbas r.a berkata: “Apabila Nabi s.a.w datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, lalu Baginda bertanya: “Apakah ini?”. Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu,” maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”.

Puasa Asyura Menghapus Dosa Setahun yang Lalu

Daripada Abu Qatadah r.a: Bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari Asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan”. (Riwayat Muslim)

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Berpuasalah pada hari Asyura (10 Muharram) dan janganlah menyamai perbuatan orang Yahudi, oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Ringkasan pandangan fuqaha’ mengenai puasa sunat hari Asyura adalah seperti berikut, iaitu samada:

  1. Puasa pada 10 Muharram sahaja
  2. Puasa pada 9 dan 10 Muharram (pilihan lebih utama)
  3. Puasa pada 10 dan 11 Muharram
  4. Puasa pada 9, 10 dan 11 Muharram (satu qaul dalam Mazhab Syafie)
  5. Banyakkan berpuasa sepanjang Muharram, dari 1 Muharram lagi  termasuk 10 Muharram itu sendiri

10 Muharram 1433H kali ini jatuh pada hari Selasa 6 Disember 2011 ini.

Sama-samalah kita warga Al-‘Izzah memuliakan diri dengan berpuasa beramai-ramai. Jangan lupa saling mengingatkan antara satu sama lain. Ajaklah ahli keluarga kita untuk bersama menghidupkan syiar mulia ini.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *