Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Rumah Anak Yatim At-Taqwa

Assalamualaikum wm wbt,
Alhamdulillah Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Rumah Anak Yatim At-Taqwa Hulu Langat daripada Surau Al-‘Izzah telah diadakan pada 14 Jun 2011 di pejabat sementara mereka di Pusat Latihan YADIM di Sungai Semungkis Hulu Langat. Anak-anak yatim juga ditempatkan di Pusat Latihan ini sehingga bangunan baru mereka siap.
YDP Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia Dr Idris Musa yang mewakili Rumah Anak Yatim At-Taqwa menerima sumbangan sebanyak RM4,530.00 daripada Pengerusi Surau Al-‘Izzah Tn Hj Desa Ali. Turut serta dalam majlis ini ialah SU Surau En Wan Mohd Zukri, Ketua Biro Kebajikan Surau En Zabarani Hashim dan Cikgu Abdul Aziz.
Sebelum majlis penyerahan, Dr Idris menceritakan sedikit latar belakang Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah At-Taqwa ini yang diasaskan oleh beliau bersama beberapa orang rakan pada tahun 1997 dengan 4 orang anak yatim sahaja waktu itu. Bilangan anak yatim dan anak hidayah ini bertambah sehingga 49 orang sebelum kejadian tanah runtuh yang lepas. Sehingga kini, mereka masih lagi mencari tanah yang sesuai untuk membangunkan semula rumah anak yatim dan anak hidayah ini di kawasan Hulu Langat kerana anak-anak ini belajar di sekolah-sekolah kawasan berkenaan.
Pihak Surau Al-‘Izzah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang yang menyalurkan sumbangan melalui Tanbung Rumah Anak Yatim ini yang diusahakan oleh Surau Al-‘Izzah. Walaupun serahan telah dibuat, pihak Surau Al-‘Izzah masih membuka tabung ini untuk menerima sumbangan daripada orang ramai. Penyerahan seterusnya akan dibuat secara berkala.
Wassalam.
Wan Mohd Zukri
SU Surau Al-‘Izzah
