Sunathon di Surau Al-'Izzah

Peserta Sunathon bersama Pengerusi Surau Al-'Izzah, Dr Shamsudin dan keluarga selepas majlis perasmian

TAMAN SAMUDERA, 5 JUN 2011 – Program Sunathon (berkhitan beramai-ramai) anjuran bersama Biro Kebajikan Surau Al-‘Izzah dan IKRAM Daerah Batu yang julung kali diadakan ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 6 orang peserta di kalangan anak-anak ahli kariah dan juga dari kawasan yang berdekatan. Dua orang doktor aktivis IKRAM telah dijemput sebagai “Tok Mudim” iaitu Dr Shamsudin Kamaruzaman dan Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta.

Selepas mendaftar dan sarapan pagi yang disediakan oleh pihak surau, program dimulai dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi Surau Al-‘Izzah Tuan Hj Desa bin Ali dan ucapan ringkas oleh Dr Shamsudin Kamaruzaman. Dalam ucapan perasmiannya pengerusi Surau Al-‘Izzah mengimbau kembali suasana “bersunat” zaman dahulu yang jauh berbeza dengan zaman sekarang. Beliau mengharapkan agar program sunathon ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan ahli kariah.

Sebelum “disunatkan” para peserta diberi cenderahati sumbangan daripada Surau Al-‘Izzah. Semasa disunatkan oleh doktor, anak-anak diminta membaca surah-surah lazim yang dihafal serta berzikir. Alhamdulillah selain ibu bapa mereka, ramai AJK dan ahli kariah Surau Al-‘Izzah yang membantu doktor dan bersama-sama memberi semangat dan mententeramkan anak-anak ini. Pastinya suasana begini tidak berlaku apabila dilakukan secara bersendirian di klinik atau hospital.

Semoga program yang julung kali diadakan ini dapat  menyemarakkan  kembali suasana bersunat beramai-ramai yang sekian lama menjadi tradisi  masyarakat Islam di kampung-kampung suatu ketika dahulu.

Tahniah kepada anak-anak yang menyertai program ini. Terimakasih kepada ibu bapa yang memberi kepercayaan kepada pihak penganjur, Dr Shamsudin dan Dr Munawar yang memberikan khidmat terbaik mereka, AJK Surau dan Helwa yang membantu dari awal hingga akhir dan juga kepada para dermawan yang membantu menjayakan program ini

Syabas kepada Biro Kebajikan Surau Al-‘Izzah yang berjaya menguruskan program ini dengan baik. InsyaAllah program Sunathon Surau Al-‘Izzah akan diadakan lagi pada 4 Disember 2011.

Foto boleh dilihat di sini.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *