7 Peserta Sunathon Bakal Melakar Sejarah!

Assalamualaikum wm wbt,

Tuan/puan ahli kariah yang dihormati,

Selepas jamuan makan di rumah En Zainal Arif seusai solat isyak tadi, Biro Kebajikan yang diketuai oleh En Zabarani telah mengadakan mesyuarat ringkas sebagai persiapan terakhir program Sunathon pada 5 Jun 2011 (Ahad) nanti. Turut hadir Pengerusi dan SU Surau serta Pengerusi Helwa dan beberapa orang AJK Helwa. Pada akhir mesyuarat, Dr Shamsuddin yang akan mengendalikan Sunathon juga hadir untuk melihat tempat dan memaklumkan beberapa persediaan dari segi peralatan dan pembantu yang diperlukan. Pada hari berkenaan, Dr Munawar M Hatta juga telah mengesahkan untuk hadir membantu.

Alhamdulillah, seramai 7 peserta yang mendaftar bakal melakar sejarah sebagai perintis program Sunathon Surau Al-‘Izzah! Selain diraikan dengan jamuan sarapan pagi yang istimewa bersama keluarga sebelum acara sunathon bermula, para peserta juga akan menerima cenderahati dan sijil penyertaan daripada Surau Al-‘Izzah. Pihak penganjur menggalakkan ibu bapa, adik-beradik dan keluarga terdekat peserta hadir bagi memberi sokongan dan semangat kepada anak-anak ini.

Semoga program yang julung kali diadakan ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim yang sedia ada di kalangan ahli kariah, menyemarakkan kembali suasana bersunat beramai-ramai yang sekian lama menjadi tradisi masyarakat Islam di kampung-kampung suatu ketika dahulu serta menyuntik semangat keberanian di kalangan para peserta.

Tahniah kepada Biro Kebajikan Surau Al-‘Izzah yang bertungkus-lumus membuat peserdiaan dan promosi bagi menjayakan program ini. Sama-sama kita doakan agar ianya berjalan dengan jayanya dan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Wassalam.

Abu Syamil
Penyelaras Program

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *