Majlis Pelancaran KRT Taman Samudra A Fasa 1

Jalan SS10, Sabtu 26 Mac 2011 – Kehadiran lebih 150 orang penduduk ke Majlis Pelancaran KRT Taman Samudra A Fasa 1 mencatat sejarah sebagai satu perhimpunan terbesar pernah diadakan di Taman Samudra A Fasa 1. Program bermula dengan sesi sarapan-ramah-mesra jam 8.30 pagi dan berakhir dengan gotong-royong kawasan taman jam 12.30 tengahari. Acara pelancaran yang diadakan pada jam 9.30 pagi dimulai dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Zool Amali, ucapan alu-aluan oleh Pengerusi KRT Taman Samudra A Fasa 1 Mej Mohd Yusoff Sadri dan ucapan pelancaran oleh Pegawai Perpaduan Daerah Gombak merangkap Penolong Pengarah Rukun Tetangga Selangor En Magedran A/L Muniandy.

Dalam ucapan alu-aluannya, Mej Mohd Yusoff menekankan peri pentingnya kerjasama antara warga Taman Samudra A dengan AJK  KRT bagi memastikan segala aktiviti berjalan dengan baik. Beliau mengharapkan pada peringkat awal, penduduk janganlah terlalu ghairah untuk melihat semuanya berjalan dengan cepat kerana KRT masih dalam peringkat memperkemaskan organisasi. Beliau juga mengharapkan AJK KRT yang dilantik memberikan komitmen dan kerjasama serta menyediakan plan program  mengikut porfolio masing-masing. Kerjasama semua penduduk diperlukan untuk menghidupkan Jiran Wanita, Jiran Warga Emas, Jiran Muda dan SRS (Skim Rondaan Sukarela).

Selepas acara gimik pelancaran KRT Taman Samudra A Fasa 1 dan Blog KRT Taman Samudra A Fasa 1,  En Magedran telah menyampaikan surat lantikan kepada semua JK KRT. Mengakhiri acara pelancaran, En Magedran juga telah membuat 5 cabutan bertuah serta menyampaikan hadiah kepada penduduk yang berjaya.

Selepas acara pelancaran, Jiran Wanita telah mengadakan sesi pemilihan JK Jiran Wanita. Senarai JK Jiran Wanita yang dipilih akan dimaklumkan kemudian.

Antara tetamu jemputan yang hadir ke majlis yang bersejarah ini ialah Ketua Balai Polis Batu Caves Sarjan Guru A/L Ratnam dan Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Gombak. Turut hadir pada akhir majlis ialah Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh iaitu Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Gombak dan Orang Besar Daerah Gombak.

Majlis tambah berseri apabila AJK KRT dan warga taman memakai T-Shirt KRT yang diberi secara percuma kepada  lebih 100 penduduk yang paling awal datang.

Untuk melihat foto program, sila klik  di sini.

Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *