Berlaku IHSAN Kepada Semua Ibu Kita

Menjadi seorang ibu yang istimewa bukanlah sukar dan bukanlah jua suatu yang aneh. Setiap wanita memang mempunyai potensi diri untuk menjadi ibu yang cemerlang. Sifat lembut dan sabar yang amat menonjol berbanding dengan lelaki, memungkinkan setiap wanita mampu mencontohi peribadi wanita teladan yang disebut di dalam al-Quran.

“Dan telah Kami jadikan (Isa) putera Mariam beserta ibunya suatu bukti yang nyata bagi (kekuasaan Kami) dan Kami melindungi mereka di suatu tanah yang tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir.” (al-Mukminuun: 50)

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa. “Susuilah dia (Musa) dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikan (salah seorang) dari para Rasul.” (al-Qashash: 7)

“Ia itu ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu yang diilhamkan, iaitu: “Letakkanlah ia (Musa) di dalam peti, kemudian lemparkanlah ia ke sungai (Nil). Maka pasti sungai itu membawanya ke tepi, supaya diambil oleh (Firaun) musuhKu dan musuhmu.” (Thaaha: 38-39)

“(iaitu) ketika saudaramu yang perempuan berjalan, lalu ia berkata kepada (keluarga Firaun): “Bolehkah saya menunjukkan kepadamu orang yang akan memeliharanya? .” Maka Kami mengembalikan kepada ibumu, agar senang hatinya dan tidak berduka cita.” (Thaaha: 40)

“Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengerti.” (al-Qashash: 13)

Bayangkan anda sedang mengandung dan anda ketika itu berseorangan. Tanpa suami di sisi dan tanpa saudara mara yang membantu. Tentu saat genting itu mengundang seribu satu macam bisikan. Yang pasti, ada yang merelai anaknya diangkat oleh orang lain. Dan tidak kurang juga, yang sanggup “membuang” anak itu, kerana tidak sanggup menanggung malu dan sebagainya. Begitulah (barangkali) perasaan Mariam ketika mengandungi nabi Isa, sehingga tercatit kisahnya itu dalam al-Quran. Dalam keadaan yang cemas, Mariam berserah diri kepada Allah. Walaupun beliau mendapat kutukan kaumnya, namun Mariam tabah. Mariam yakin bahawa dia adalah seorang yang suci, dan apa yang berlaku itu adalah kehendak Allah. Dia pasrah.

“Hai saudara perempaun Harun, ayahmu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang penzina.” (Mariam: 28)

Namun, apakah peristiwa besar ini berulang?. Apakah ada wanita yang mengandung itu seorang suci dan dara? Sudah tentu tidak. Tentu kisah Mariam ini ada hikmahnya, sesuai dengan peranan al-Quran sebagai petunjuk dalam kehidupan manusia.

“Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa dia (bersandar) pada pangkal pohon kurma. Dia berkata: “Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini dan aku menjadi sesuatu yang tidak berarti lagi dilupakan.” Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah: “Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenang-hatilah kamu.” (Mariam: 23-26)

Siapakah ibu yang berjasa? Kalau dia ibu kandung, dia amat berjasa kerana telah mengandung dan melahirkan kita. Selama 9 bulan, kita menumpang hidup dan menumpang kasih di dalam rahimnya seorang ibu kandung. Kalaupun kita dijaga oleh orang lain, bukan bermakna jasanya itu boleh kita lupakan begitu saja. Ibu tiri adalah seseorang yang dekat dengan ayah kita. Kita menghormatinya sesuai dengan kedudukannya sebagai insan disayangi ayah kita. Ibu angkat juga amat berjasa kerana dialah yang membesar dan mendidik kita. Namun, ibu ayam adalah insan yang banyak berdosa kerana dia menggalakkan perbuatan maksiat. Ibu ayam ini wajar dibenteras, dan jangan ada sesiapa jua yang diberi gelar dengan panggilan ini.

Manusia secara umumnya Amat menghormati ibu. Merekalah manusia yang dimuliakan, dijaga dan dibela. Merekalah insan yang disayangi kerana jasa mereka. Bahkan ada orang yang sanggup menyembah ibu mereka, kerana terlalu amat memuliakan mereka. Belum pun ada seseorang yang malu mengaku dirinya sebagai ibu, sekalipun anaknya adalah sampah pada masyarakat. Memang hatinya pedih, namun naluri keibuannya mengharapkan anaknya itu adalah warga yang baik.

Seorang ibu senang dan gembira apabila dikurniakan dengan anak. Seorang ibu amat gembira dan berbangga dengan anak-anak yang soleh. Seorang ibu berusaha menempatkan anak-anaknya di tempat yang terbaik. Seorang ibu sedih melihat anaknya dalam keadaan lemah atau daif. Seorang ibu gelisah menjelang ajalnya apabila meninggalkan anak-anaknya yang lemah. Seorang ibu sentiasa memohon perlindungan kepada Allah bagi kebaikan anak-anaknya. Seorang ibu sentiasa mengharapkan pembelaan anak-anaknya pada saat dia menghadapi bahaya. Seorang ibu lebih memikirkan keselamatan anaknya daripada dirinya sendiri. Seorang ibu bangga dengan anak yang berjasa dan terhormat. Seorang ibu sangat sedih apabila anaknya celaka atau menderita. Seorang ibu lebih mengutamakan kelangsungan hidup anak daripada dirinya sendiri. Seorang ibu tetap akan membela kepentingan anak. Seorang ibu sebenarnya ingin anaknya mewarisi pegangan hidupnya. Seorang ibu amat-amat menghendaki anak-anaknya berbakti kepadanya. Seorang ibu senang anaknya membantu kesulitannya. Seorang ibu sentiasa bersabar menghadapi perilaku buruk anaknya. Seorang ibu menginginkan jodoh anaknya orang yang baik dan bertanggungjawab. Seorang ibu itu amat berjasa.

Kerana telah memilih dan menerima bapa untuk anak-anaknya. Seorang ibu, sanggup berpisah daripada lingkungan keluarganya kerana mahu membesarkan anak-anaknya.

Ibu kandung kita, mengandung dalam keadaan yang amat payah. Allah merakamkan peristiwa penting dalam al-Quran, agar kita maklum kedudukan mereka di sisi Allah.

“Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan.” (az-Zumar: 6) “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.” (an-Nahl: 78) “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula).” (al-Ahqaaf: 15) “Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka.” (al-Mujaadilah: 2)

Perintah Allah adalah jelas, iaitu setiap anak hendaklah menghormati ibu mereka. “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya (memberi susu) dalam dua tahun.” (Luqman: 14)

Saat dan ketika mereka masih hidup, kita bentangkan khidmat dan penghormatan kita kepada mereka. Khususnya ketika mereka sudah berumur lanjut, merekalah ratu dalam kehidupan kita. Sewajarnya kita sentiasa berada di sisi mereka dan bukan hanya ingat pada mereka pada hari ibu sahaja.

Semoga ada manfaatnya.

Saudi Arof

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *