Pengaktifan Semula KRT Taman Samudra Fasa 1A

Berdiri dari kiri: Hj Jaafar, Abd Hadi, Hj Alias, Mej Yusoff, Hj Abd Ghani & Wan Mohd Zukri bersama En Magendran (duduk) selepas perbincangan di JAPNIN

Rabu, 12 Jan 2011 – Selepas berlaku beberapa kes rompakan bersenjata di kawasan kariah Surau Al-‘Izzah termasuk yang terbaru yang melibatkan kecederaan seorang penduduk berbangsa China dan juga cubaan merompak beberapa buah rumah dan Tadika, satu inisiatif telah diambil untuk menghidupkan semula Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Samudra Fasa 1A. Seramai 6 orang mewakili penduduk Taman Samudra Mitra Delfina (Fasa 1A) iaitu Hj Abd Ghani (ketua rombongan), Hj Jaafar, Mej Yusoff, Hj Alias, Abd Hadi dan Wan Mohd Zukri telah mengadakan perbincangan dengan Pegawai Perpaduan Daerah Gombak iaitu En Magedran a/l Muniandy di pejabat beliau.

Berikut adalah catatan pertemuan tersebut:

1. Perbincangan dimulakan dengan Hj Abd Ghani selaku ketua rombongan menceritakan latarbelakang KRT Taman Samudra Fasa 1A yang mana beliau terlibat secara langsung semasa penubuhannya. Penerangan beliau sekali-sekala dibantu oleh Mej Yusoff.

2.  En Magendran memaklumkan bahawa KRT ditubuhkan atas permintaan penduduk untuk manfaat dan kesejahteraan penduduk sendiri. Menjadi tanggungjawab AJK yang dipilih untuk memastikan KRT ini berjalan dan terus hidup. Beliau juga menyebut telah bercadang untuk menutup KRT Taman Samudra Fasa 1A yang telah lama sangat tidak aktif ini. Alhamdulillah kedatangan ahli rombongan ini tepat pada waktunya!

3.  En Magendran juga memaklumkan bahawa ada wakil daripada Flat Taman Samudra yang menghantar senarai nama AJK KRT yang kemungkinan menggunakan KRT Taman Samudra Fasa 1A. Walaubagaimanapun beliau akan melihat balik perkara ini dan berjanji akan menyelesaikannya.

4.  Oleh kerana dalam fail JPNIN tiada lakaran kawasan KRT Taman Samudra Fasa 1A, yang ada cuma deskripsi bertulis lokasi sahaja, menggunakan google map, ahli rombongan membantu En Magendran melakarkan semula lokasi KRT Taman Samudra Fasa 1A ini berpandukan deskripsi lokasi tadi. Lakaran yang dibuat boleh dilihat di sini.

5.  Selepas itu En Magendran memaklumkan beberapa perkara yang perlu dibuat untuk menghidupkan semula KRT Taman Samudra fasa 1A iaitu:

  • Memilih JK Rukun Tetangga seramai 25 orang iaitu; Pengerusi, Tim Pengerusi, SU, PSU, Bendahari dan 20 orang AJK. Syarat AJK KRT ialah berumur 21 tahun ke atas. Pemilihan AJK seeloknya merangkumi semua kaum, mewakili semua jalan/lorong dan dipersetujui oleh orang yang dipilih.
  • Nama-nama AJK termasuk top 5 dimasukkan dalam borang Senarai Nama Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga yang disediakan oleh pihak JPNIN
  • KRT bukan Persatuan Penduduk dan tidak perlu mengadakan Mesyuarat Agung tahunan.
  • Mengadakan satu majlis Pelantikan dan Taklimat KRT dengan menjemput semua penduduk dalam KRT. En Magendran akan memberi taklimat dalam majlis tersebut. Tarikh ditetapkan pada Jumaat 28 Jan 2011 jam 9.00 malam.
  • Selepas tertubuhnya KRT, perlu memohon untuk mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS). Dalam satu KRT boleh diwujudkan beberapa SRS dengan pecahan mengikut zon kawasan. Setiap SRS perlu dianggotai oleh min 20 orang ahli dan setiap zon SRS akan mendapat peruntukan peralatan rondaan yang berasingan. Ahli SRS berumur 18 tahun ke atas. Ahli yang berdaftar dilindungi oleh insuran sekiranya berlaku musibah semasa menjalankan tugas rondaan.
  • Setiap KRT akan mendapat peruntukan tahuhan dan juga boleh memohon peruntukan untuk semua aktiviti yang melibatkan penduduk. Permohonan perlu dibuat 3 minggu sebelum program.

Lanjutan daripada perjumpaan dengan pegawai JPNIN Daerah Gombak ini, satu perjumpaan Pra-Taklimat Pengaktifan KRT Taman Samudra Fasa 1A akan diadakan di Surau Al-‘Izzah pada 18 Jan 2011 (Isnin) selepas solat Isyak. Semua ahli kariah Surau Al-‘Izzah dijemput hadir. Agenda perjumpaan ini ialah:

  1. Penerangan perjumpaan dengan Pegawai JAPNIN Daerah Gombak
  2. Mencadangkan senarai AJK KRT Taman Samudra Fasa 1A
  3. Persediaan Majlis Taklimat & Pelantikan JK KRT Taman Samudra Fasa 1A pada 28 Jan 2011
  4. Hal-hal lain yang berkaitan dengan KRT

Semoga dengan pengaktifan semula KRT Taman Samudra Fasa 1A, keselamatan dan kesejahteraan warga Taman Samudra Fasa 1A (Mitra Delphina) bertambah baik selepas ini.

Wassalam.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *