Amalan Berdoa Awal dan Akhir Tahun

Amalan Berdoa Awal dan Akhir Tahun
Oleh: al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Semalam, 17 januari 2007, dalam satu kuliah untuk muslimat tentang ma`al hijrah, seorang muslimat menimbulkan persoalan: amalan-amalan yang sudah biasa dilakukan oleh orang Melayu sejak beberapa lama tentu ada sandarannya daripada al-Quran dan Sunnah. Contohnya amalan berhimpun malam nisf Sya`ban. Persoalan ini beliau timbulkan apabila saya membangkitkan persoalan amalan baca doa awal dan akhir tahun. Menarik juga soalan dan hujahan ini.

Ia menggambarkan cara berfikir masyarakat awam. Mereka meletakkan keyakinan penuh kepada ahli-ahli agama. Amalan yang telah dilakukan oleh ahli-ahli agama sejak berzaman tentu ada sandarannya. Ahli-ahli agama yang dimaksudkan oleh saya di sini ialah para imam di masjid dan surau dan mereka yang bergelar “asatizah” ; guru-guru agama.

Keyakinan tinggi mereka kepada perlakuan ahli agama ini memang tepat. Orang yang jahil tentu bergantung ilmu kepada yang lebih alim. Dalam konteks masyarakat awam tentu mereka menggantungkan kepercayaan ilmu sepenuhnya kepada ahli agama yang hampir dengan mereka. Mereka yakin, ahli agama tentuna merujuk kepada al-Qur’an dan hadith.

Tinggal lagi persoalan ialah bagi pihak ahli agama itu sendiri. Adakah amalan yang dilakukan adalah berasaskan ilmu dan pengkajian? Dengan merujuk kepada al-Qur’an dan hadis? Merujuk kepada tulisan ulama mu`tabar? Atau berdasarkan ikutan pada perlakuan orang sebelumnya? Ahli agama perlu sentiasa menambahkan ilmu. Perlakuan mereka mesti berasaskan ilmu. Maksud ilmu ialah dengan merujuk kepada al-Qur’an, al-Hadith dan perbahasan tokoh-tokoh ulama.

Persoalan yang penting di sini; adakah amalan membaca doa awal dan akhir tahun dilakukan oleh tokoh-tokoh ulama? Adakah ia sememangnya disebut oleh ulama-ulama besar hatta dalam mazhab Shafi`I? Saya melihat amalan membaca doa ini hanya dinukilkan dalam buku-buku amalan yang ditulis dan disebarkan secara meluas di alam Melayu. Buku-buku ini pula tidak menyebut sumber rujukan amalan tersebut. Apa hadithnya? Siapakah kalangan ulama silam yang memperakuina? Justeru, masalah sebenarnya ialah pada penulis-penulis buku-buku amalan ini. Mereka sebenarnya hanya mencatatkan amalan itu berasaskan amalan yang telah diterima turun temurun diamalkan di masjid-masjid dan surau-surau. Bukan berasaskan rujukan kepada tulisan ulama muktabar. Di sinilah masalahnya.

Hari ini rujukan para guru agama lebih meluas. Mereka merujuk kepada tulisan-tulisan ulama-ulama terkenal di zaman silam dan ulama terkenal kontemporari. Mereka mendapati amalan membaca doa awal dan akhir tahun ini tidak disebut oleh para ulama terkenal. Amalan ini tidak pernah berlaku dizaman Rasulullah saw malah pada zaman sahabat. Ia juga tidak diamalkan oleh tokoh-tokoh ulama. Bagimana ia menyerap masuk dan diamalkan di alam Melau? Saya tak ada jawapan bagi persoalan ini.

Apa pun, tinggalkan hakikat ini dulu. Kita berpindah pada hakikat yang lebih penting, yang boleh menentukan samada amalan yang dibuat itu tepat atau tidak. Cukup untuk memahami persoalan ini dengan merujuk sejarah penentuan tahun Islam. Ia hanya berlaku pada zaman Umar iaitu pada tahun ke 17 hijrah. Ia dinukilkan oleh Abu Nu`aim dalam karya tarikh beliau. Sebelumnya umat Islam hanya menggunakan hari dan bulan tanpa tahun. Umar yang berijtihad mencipta tahun berdasarkan peristiwa hijrah Rasulullah saw. Justeru ia dikenali sebagai Tahun Hijri. Umar juga yang berijtihad menentukan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar hijri ini.

Ceritanya panjang akan saya bicarakan kemudian. Jadi, kalau penentuan tahun berlaku zaman umar, tentunya penentuan awal tahun juga berlaku zaman Umar. Jika berlaku zaman Umar, amat mustahil amalan membaca doa awal tahun dan akhir tahun berlaku zaman nabi. Juga amat mustahil doa itu dibaca oleh Nabi saw.

Justeru, jangan sama sekali menyandarkan amalan tersebut kepada nabi saw. Jangan menyandarkan doa tersebut kepada nabi! Inilah keyakinan yang salah! Begitu juga dengan amalan membaca Yasin dan diniatkan tiga perkara; panjang umur, murah rezeki dan mati dalam iman. Tak ada satu nas daripada ulama yang menggesa umat melakukan amalan ini. Apatah lagi sumber Islam iaitu al-Qur’an dan Sunnah.

Amalan berdoa awal tahun dan akhir tahun serta membaca Yasin dengan tiga niat tadi tidak pernah dilakukan oleh para sahabat. Bahkan juga para ulama yang mu`tabar. Justeru, kenapa begitu bersemangat untuk melakukan amalan yang tidak dilakukan oleh generasi awal Islam dan tokoh ulama Islam? Baginda bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِيْنَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “sesiapa yang mengada-adakan di kalangan kami sesuatu yang bukan daripadanya (agama) maka ia tertolak”. Namun, untuk berhimpun di awal tahun, bagi saya tidak ada kesalahannya. Sememangnya kita sepatutnya berhimpun setiap malam di rumah-rumah Allah. Tapi jadikan malam itu sebagai malam ilmu dengan disampaikan kuliah tentang Islam dan sejarah hijrah Rasulillah saw. Alangkah baiknya.

Tapi, macamana kalau mereka nak lakukan juga? Kata Imam Ahmad; jelaskan kepada umat apa itu sunnah, dan jangan bertekak bertegang leher! Jadi, sampaikan kepada mereka apa yang benar. Jika mereka berdegil, biarkan….mudah-mudahan di kesempatan lain boleh kita betulkan. Jangan pula lari meninggalkan masjid. Jangan jadikan dia sebagai medan perpecahan ummat. Perlakuan membaca Yasin bukannya haram. Tapi keyakinan mereka yang mesti diperbetulkan.

…………………………………………………………………………………………………….

Doa Awal dan Akhir Tahun

Oleh: Ustaz Lokmanulhakim Bin Hussain

Menjadi kelaziman sebahagian orang Islam, apabila berakhir bulan Zulhijjah yang memberi erti bermulanya tahun baru Hijrah, mereka melakukan satu upacara doa yang dikenali dengan ‘Doa Awal dan Akhir Tahun’. Ia dibaca selepas waktu Asar, atau sebelum Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah. Lafaz doanya ‘disunatkan’ dibaca sebanyak tiga kali. Dan dikatakan fadilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua”. Disebut juga, dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.

Begitulah besarnya kelebihan yang disebut-sebut tentang doa awal dan akhir tahun ini. Tidak hairan, ramai yang mempercayainya dengan harapan memperoleh kelebihan itu. Sehingga di sesetengah sekolah, asrama, atau pejabat-pejabat, ia dibaca secara berkumpulan, dengan dipimpin oleh seorang ustaz selaku tekong dalam upacara doa tersebut dan di’amin’kan oleh jemaah.

Jika diteliti doa awal dan akhir tahun tersebut, diakui bahawa lafaz Arabnya sangat elok, susunan kata-katanya menarik, dan maksud kandungan doa juga tidak bersalahan dengan mana-mana prinsip syarak.

Tetapi, oleh kerana doa ini ditetapkan lafaz bacaannya, bilakah waktu dibaca, berapa kali bacaannya diulangi, dan apakah fadilatnya, maka upacara membaca doa ini adalah termasuk dalam bidaah. Kerana bacaan doa ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kitab hadis muktabar, tidak pernah dinukilkan amalannya di kalangan para sahabat, tabien dan para salaf, dan tidak disebut pun oleh imam-imam yang masyhur.

Sedangkan kita tahu doa adalah ibadah. Dan dimaklumi bahawa ibadah bersifat tauqifiyyah iaitu mesti diambil asal dan kaifiatnya daripada syarak. Tetapi, dalam persoalan doa awal dan akhir tahun ini, tidak didapati sebarang asas pun daripada nas-nas syarak.

Syeikh Bakr Abu Zaid -rahimahullah- menyebut satu kaedah dalam amalan doa, iaitu: Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa dan zikir dalam bentuk yang ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu sunnah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa.

Alasannya perbuatan ini adalah satu bentuk meninggalkan perkara yang disyariatkan, satu penambahan terhadap syarak, satu galakan terhadap amalan yang bukan daripada syarak, dan menyebabkan orang awam menyangka bahawa ia suatu yang masyruk. (Tashih Ad-Dua: 44)

Apabila dikatakan bahawa ia bidaah, pasti ada suara membantah, “Sikit-sikit bidaah, apa salahnya berdoa?”. Ya, berdoa tidak salah. Ibadah doa boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai.  Termasuklah berdoa pada tarikh 29 Zulhijjah. Yang salahnya ialah menetapkan bentuknya seolah-olah ia daripada syarak. Ditambah pula dengan fadilat palsu tentang kata-kata syaitan begitu dan begini, dan jaminan pengampunan dosa selama setahun. Ini semua perkara ghaib yang mesti diambil daripada nas-nas sahih.

Ada juga mengatakan, “Perkara kecil seperti ini pun hendak diperbesar-besarkan?”. Jawapan kepada persoalan ini ialah kata-kata Imam al-Barbahari, “Dan awaslah kamu daripada perkara-perkara kecil yang diada-adakan, kerana bidaah-bidaah kecil akan berulang hingga ia menjadi besar”.

Ibn Taimiyyah pula mengatakan, “Bidaah-bidaah pada permulaannya hanya sejengkal. Kemudian ia bercambah di kalangan pengikut-pengikut, hingga menjadi beberapa hasta, beberapa batu dan beberapa farsakh“. (Satu farsakh bersamaan 3 batu).

Oleh itu,  janganlah dipandang mudah terhadap perkara-perkara kecil yang menyalahi syariat, apatah lagi termasuk dalam bidaah. Dan yakinilah bahawa setiap amalan ibadah yang dilakukan, sedangkan ia bukan daripada agama, maka amalan itu ditolak oleh syarak.

Wallahu A’lam.

Abu Umair,

28 Zulhijjah 1429

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *