Takbir Raya

Pada Hari Raya Eidul Adha, antara yang disunatkan ialah bertakbir sama ada bersendirian atau beramai-ramai di masjid, surau atau di rumah. Waktu disunatkan bertakbir bermula pada petang hari Arafah atau 9 Zulhijah dan pada hari-hari Tasyriq, iaitu hari 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah. Pada prinsipnya, takbir Hari Raya dituntut adalah kerana ia menunjukkan kemenangan. Demikian juga dengan Hari Raya Haji, kita bertakbir kerana menang dalam melaksanakan ibadat haji. Kalaupun tidak kita sendiri yang mengerjakannya, mungkin ada saudara-mara kita yang menang dalam menunaikan fardu itu. Kita menumpang gembira atas kemenangan mereka. Justeru, kita bertakbir Allahu Akbar sebanyak mungkin pada hari-hari tertentu.

Ucapan takbir sepatutnya dibacakan dengan penuh semangat dan dengan suara yang agak tinggi, sesuai dengan kemenangan yang kita capai. Sebagaimana kita nyanyikan lagu-lagu patriotik pada hari kebangsaan atau ulang tahun kemerdekaan. Ketika menyembelih haiwan korban juga kita disunatkan bertakbir tatkala pisau mengena leher haiwan bagi menyatakan secara simbolik bahawa sembelihan itu bukan kerana memuja syaitan yang memang sukakan dirinya dipuja dengan darah, tetapi korban kerana Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *