Bagaimana Memperolehi Haji Mabrur

Oleh: Dr. Jamal Madhiy

Makna haji mabrur

Di dalam setengah hadith menyatakan bahwa haji yang sempurna sebagai haji yang mabrur. Sabda nabi saw:

“Haji yang mabrur tidak ada balasan yang setimpal melainkan balasan syurga”. (Bukhari)

Oleh sebab itu kita sangat perlu mengenali tanda-tanda haji mabrur. Apakah perkara yang menyebabkan tercapai haji mabrur supaya kita dapat melaksanakannya? Apakah perkara yang menghalang tercapai haji mabrur supaya kita dapat menjauhinya? Manusia saling berbeza dalam ibadah haji mereka dengan perbezaan yang ketara berdasarkan dekatnya atau jauhnya mereka daripada sifat-sifat dan tanda-tanda ini.

Para ulamak telah menyebutkan beberapa pendapat tentang  makna haji mabrur yang mana ke semuanya berkesudahan membawa makna yang hampir sama, bahkan tidak keluar daripada satu makna, iaitu; “Haji yang sempurna dari segi hukum dan tertakluk berdasarkan tuntutan kepada semua mukallaf dalam bentuk yang lengkap”.

Haji mabrur ialah sesiapa yang menyempurnakan tiga aspek ini; hukum haji, kesan mendalam di dalam diri jemaah haji dalam bentuk yang lengkap dan setiap orang yang mengharapkannya sampai ke puncak tertentu.

Bagaimana anda mencapai haji mabrur?

1.  Amalan yang diterima

Pertimbangan sesuatu amalan diterima Allah adalah pertimbangan yang tertentu dan mudah, iaitu amalan mestilah ikhlas kepada Allah dan mengikut petunjuk RasulNya. Allah tidak menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas dan mengharapkan keredhaanNya. Oleh sebab itu para jemaah merupakan orang yang paling utama menyelidiki jiwanya dan membersihkan niatnya daripada niat-niat yang bertentangan dengan ikhlas, menjatuhkan amal dan menghilangkan ganjaran dan pahala seperti riya’, sum’ah, sukakan pujian dan kedudukan di sisi manusia.

Daripada Ibn Majah bahawa nabi saw:

“Baginda berdoa; “Ya Allah, haji (yang mabrur) ialah yang tidak riya’ dan tidak sum’ah”.

2.  Menepati sunnah

Menitik beratkan amalan-amalan haji yang menepati sunnah nabi saw. Bermaksud kita hendaklah mempelajari cara-cara melaksanakan haji, kewajipan-kewajipannya, sunat-sunatnya dan sifat haji nabi saw. Di dalam hadith dari Jabir r.a, nabi saw bersabda:

“Sempurnakanlah cara-cara melaksanakan haji, kerana saya tidak tahu adakah haji saya mendapat haji yang mabrur selepas haji saya ini”. (Muslim)

3.  Persiapan jiwa

Persiapan jiwa sebelum menunaikan haji dapat membantu jemaah memperolehi haji mabrur. Langkah-langkah amali ini membantu persediaan jiwa jemaah haji, iaitu taubat nasuha, mencari duit belanja yang halal, teman yang salih, menyempurnakan hak-hak hamba, segera menasihati ahli keluarganya dan menenteramkan jiwa.

Bagaiman cara mengukuhkan ibadah anda supaya mendapat haji mabrur?

Demi memperolehi haji mabrur maka haji anda hendaklah diperkuatkan dengan tanda-tanda di bawah:

1.  Anda melaksanakan cabang-cabang kebajikan

Antaranya ialah elok pergaulan, akhlak terpuji, memberikan yang baik, berbuat ihsan kepada orang dalam semua bentuk, seperti ucapan yang baik, menginfakkan harta, atau mengajar kepada yang tidak tahu, membimbing yang sesat, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Ibn Umar pernah menyatakan: “Sesungguhnya berbuat kebajikan sesuatu yang mudah, seperti wajah yang ceria dan ucapan yang baik”.

Di antara sudut-sudut kebajikan yang paling utama diperlukan para jemaah (seperti yang dinyatakan Ibn Rejab) berdasarkan pesanan  nabi saw kepada  Abu Hujaimy ketika baginda berkata kepadanya:

“Janganlah engkau memandang remeh sesuatu perbuatan baik walaupun engkau hanya memberikan penyambung talinya, walaupun engkau menolong memutuskan talinya, walaupun engkau mengeluarkan sedikit air daripada baldi engkau ke dalam bekas orang yang meminta minuman, walaupun engkau hanya membuang sesuatu di jalan yang menyusahkan orang melaluinya, walaupun engkau hanya menunjukkan wajah yang ceria ketika menemui saudara mu, walaupun engkau hanya memberi salam apabila bertemu saudaramu  dan walaupun engkau hanya menjinakkan sesuatu yang  liar di bumi”. (Ahmad)

2.  Anda memperbanyakkan ketaatan dan ibadah

Bagi mencapai haji yang mabrur para jemaah hendaklah memperbanyakkan ibadah dan menjauhi maksiat dan perkara yang bercanggah kerana Allah amat menggalakkan hambaNya supaya sentiasa memperbanyakkan bekalan berupa ibadah-badah tertentu sewaktu menunaikan haji. Firman Allah SWT di dalam ayat-ayat haji:

“dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku Hai orang-orang yang berakal”. (Al-Baqarah: 197)

Allah telah melarang para jemaah dari melakukan kata-kata rafats (mencarut), berbuat fasik dan bertengkar semasa haji. Firman Allah:

“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, Maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. (Al-Baqarah: 197)

Sabda Nabi saw:

“Barangsiapa yang mengerjakan haji di Baitullah sedangkan dia tidak mengeluarkan kata-kata rafats (mencarut) dan berbuat fasik maka dia kembali seperti bayi yang baru lahir dari perut ibunya”.
(Muttafaq Alaih)

Rafats ialah kata-kata mencarut atau lucah. Perbuatan fasik ialah seperti riwayat dari Ibn Umar r.a dan ramai dari para salaf as-salih iaitu melakukan segala jenis maksiat. Jidal ialah pertengkaran atau berbantah-bantah yang bukan mendatangkan kebaikan. Justeru, jikalau anda ingin memperolehi haji mabrur, maka wajiblah anda melaksanakan ketaatan dan ibadah kepada Tuhanmu. Iaitu dengan memelihara ibadah-ibadah fardu, memenuhi masa dengan ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran dan sebagainya dari pintu-pintu kebaikan serta anda menjaga batas dan larangan yang ditetapkan Allah, iaitu meliputi pendengaran, penglihatan dan lidah mu dari perkara yang tidak halal bagimu.

3.  Mengetahui rahsia-rahsia haji

Di antaranya ialah para jemaah mengetahui hukum dan rahsia haji, perbezaan ketara antara orang yang mengerjakan haji, iaitu dia sedar bahawa ia menunaikan syiar-syiar Allah dan ia sebenarnya berada di atas pendirian ini yang merupakan di atas landasan para nabi, ulamak dan solihin dengan mengingati dengan hajinya ini adalah hari yang menghimpunkan para hamba untuk berhadapan dengan Allah, dan perbezaan antara orang yang mengerjakan haji , iaitu sekadar amalan biasa atau sekadar melancung dan membeli belah atau sekadar menggugurkan kefarduan kepadanya atau supaya dia dipanggil “haji fulan”.

Di samping ada ulamak yang mengatakan: “Haji adalah himpunan ibadah (manasik) dan syiar, perbuatan dan perkataan..yang disusun seluruhnya dalam ruang lingkup masa dan tempat yang tertentu yang disatukan kesemuanya dengan makna penyembahan dan pengabdian, amalan tarbawi yang memberi sumbangan dalam pembinaan peribadi  muslim, berkerja untuk mengembalikan susunannya, membetulkan perjalanan hidupnya dan menghala tujuan dan kesudahannya kepada Allah”.

Kemudian para jemaah mengetahui bahawa “talbiyah” ialah laungan ruh: (Kami menyahut penggilanMu Ya Allah sebagai orang yang menyahut panggilan..Kami menyambut panggilanMu tiada yang sekutu bagi sebagai orang yang menyahut panggilan..sesungguhnya pujian, nikmat dan kerajaan bagiMu, tiada yang sekutu bagiMu sebagai orang yang menyahut panggilanMu) merupakan seruan yang lahir dari lubuk hati yang menyahut panggilan Allah..yang mengumumkan tentang kesetiannya, kejujuran niatnya dengan mengenepikan sebarang kesusahan dan kepenatan semata-mata cintakan Allah dan kasihkanNya.

Seolah-olah hati berkata: “Inilah aku telah hadir dan berada di sisiMu..aku telah meninggalkan segala yang membelengu ku di belakang..keluarga, harta, pangkat, keseronokan dan kesenangan..semata-mata mengharapkan keredhaanMu, menepati janjiku kepadaMu dan kerana kasihkanMu..terimalah aku, Ya Allah dengan sebaik-baik penerimaan, perkenankan doaku, muliakan kedatanganku kepadaMu dan kurniakanlah ganjaran yang menghapuskan dosa-dosaku”.

Kemudian para jemaah tambah menyedari bahawa haji adalah perjalanan ruh dan badan, perpindahan manusia kepada Allah, kedatangan manusia kepada Allah, iaitu perpindahan dari keluarga, harta dan keseronokan, dan menanggung kepayahan, kesusahan dan keperitan untuk datang kerana menyahut seruanNya. Firman Allah:

“Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh”. (Al-Hajj: 27)

Haji adalah ibadah yang menggabungkan pelbagai komponen..menggabungkan fizikal dan material, nafsu dan perasaan turut memberi saham dalam ibadah haji. Oleh sebab itu haji adalah ibadat material dan fizikal melalui pengorbanan harta, tenaga, menanggung kesusahan, keperitan dan kepenatan semata-mata kerana beribadah kepada Allah, menzahirkan penyembahan yang ikhlas kepadaNya dan mengukuhkan kemerdekaan dari segala sesuatu selain Allah.

4.  Anda mengetahui manfaat haji masa kini

Firman Allah:

“27.Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh,28. Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang Telah ditentukan atas rezki yang Allah Telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir. (Al-Hajj: 27-28)

Haji adalah muktamar atau persidangan Islam terbesar, penzahiran iman yang menakjubkan yang melibatkan pelbagai peringkat manusia, pelbagai keturunan dan bangsa atas janji yang satu, di bumi yang satu, laungan yang diulang-ulang yang satu, mempraktikkan syiar yang satu, menuju tujuan yang satu iaitu mengumumkan ubudiah, penyembahan dan kesetiaan hanya semata-mata kepada Allah.

Haji seperti yang dijelaskan dalam al-Quran dan hadith yang berkait dengan ibadah kepada Allah, namun di dalam ibadah ini terkandung manfaat kemasyarakatan , faedah pengetahuan, ekonomi, politik, pendidikan yang memberi sumbangan kepada pembinaan masyarakat Islam, menambahkan kesedaran dan hala tujunya, menyumbangkan kepada penyelesaian masalah dan menggiatkan langkah ke hadapan.

Semasa haji para muslimin dapat menyaksikan: penzahiran persamaan yang menakjubkan, kerendahan diri, persaudaraan kemanusiaan, menengenepikan perbezaan kedudukan dan pakaian dengan menanggalkan sebab yang menunjukkan sesuatu tradisi dan hanya menzahirkan satu pakaian (pakaian ihram) di mana semua merasai kesatuan bangsa manusia, persaudaraan dan persamaan.

Di dalam haji juga para muslimin merasai kesatuan tanahair, kesatuan manusia melalui ibadah yang mengenepikan batas dan sempadan yang dibuat kerana sifat individualistic dan  ketamakan manusia kepada bangsa, ras dan geografi.

Haji merupakan himpunan manusia terbesar yang melibat jutaan umat Islam dari pelbagai penjuru dan cerok dunia, mampu menghasilkan gerakan manusia terbesar yang diikuti dengan menggerakkan kegiatan ekonomi dan perdagangan terbesar, melalui industry pengangkutan, impot dan ekspot, pertukaran wang, pembelian binatang korban, keperluan dan barangan haji serta visa dan paspot. Justeru ramai muslimin memperolehi manfaat, masyarakat dapat menggiatkan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan yang sangat lumayan.

5.  Anda kembali dengan istiqamah dalam ketaatan

Di antara tanda haji mabrur ialah seorang muslim beristiqamah selepas hajinya dengan ketaatan kepada Allah dan keadaan dirinya lebih baik selepas haji berbanding sebelumnya. Inilah antara tanda penerimaan ketaatan. Menurut setengah Salaf as-Solih: “Tanda haji mabrur ialah kebaikan kepadanya bertambah selepas haji dan tidak lagi berbuat maksiat setelah kembalinya”. Menurut Hassan al-Basri: “Haji yang mabrur ialah  ia kembali menjadi orang yang zuhud di dunia dan gemarkan akhirat”.

Ini kerana di dalam haji terdapat latihan dan pendidikan kepada tingkahlaku seseorang. Di dalam haji mengembalikan para hujaj sifat sabar, sedia menanggung kesukaran, akhlak terpuji..seperti lemah lembut, rendah diri, sopan santun, baik perkataan, berbudi pekerti, murah hati, dan larangan dari berdusta, mengumpat, bermusuh dan bercakap besar…dsb.

Di dalam haji juga mengembalikan pertautan, dapat berkenalan sepanjang bermusafir dan bergaul, menyuburkan ruh kemasyarakatan, mendidik nilai murni melalui latihan-latihan pendidikan, interaksi manusia yang menakjubkan yang dapat disaksikannya di dalam haji dengan setinggi derjat komitmen dan istiqamah perilaku.

Demikianlah para hujaj kembali seolah-olah seperti hari lahir dari perut ibunya dengan memulakan lembaran yang baru di dalam hidupnya, yang bersih, suci dan murni. Di dalam jiwanya mengandungi potensi besar untuk melangkah dengan langkah kejayaan di dalam hidupnya dengan Allah, dirinya dan manusia.

Saya berdoa kepada Allah supaya menjadikan haji anda haji yang mabrur, dosa-dosa anda semua dihapuskan dan ibadah-ibadah anda sebagai tanda syukur.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=56370&SecID=363
melalui blo
g http://zadud-duat.blogspot.com/2010/11/normal-0-false-false-false-en-us-x-none_02.html

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *