Mengenai Ibadah Qurban

“Tidak ada satu amalan yang paling dicintai Allah dari Bani Adam ketika Hari Raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagialah dirimu dengannya.”
Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim

Qurban ialah menyembelih binatang ternakan berkaki empat (Al-An’am) pada Hari raya Eidul Adha atau hari-hari tasyrik (11,12,13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah. Hukum ibadah qurban adalah sunat muakkad bagi yang mampu dan wajib bagi yang bernazar. Ibadah qurban bermula selepas naik matahari sekadar cukup untuk solat 2 rakaat dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah.

Ibadah qurban dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walaubagaimanapun, peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada mereka berdua. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana Nabi Ibrahim sangup menyembelihkan anak sendiri dan Nabi Ismail pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih. Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan mereka kepada perintah Allah lebih daripada yang lain walupun ia melibatkan nyawa dan kasih sayang ayah dan anak. Lalu Allah telah menggantikan tempat Nabi Ismail dengan kambing (qibasy).

Ibadah qurban juga dilakukan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Syarat-syarat sah Ibadat Qurban

  1. Berniat qurban ketika menyembelih.
  2. Sembelihan dilakukan pada waktunya iaitu matahari naik kadar sepenggalah pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
  3. Penyembelih orang Islam.
  4. Tidak terdapat kecacatan pada binatang qurban tersebut yang boleh mengurangkan dagingnya.
  5. Binatang ternakan yang halal dimakan.
  6. Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur. Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan qurban adalah seperti di bawah.

Haiwan Qurban

  1. Biri-biri: Umur 1 tahun atau lebih
  2. Lembu/kerbau: Umur 2 tahun atau lebih
  3. Unta: Umur 5 tahun atau lebih

Pembahagian daging qurban

  1. 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin
  2. 1/3 dimasak untuk jamuan ramai
  3. 1/3 orang yang berqurban

Lebih afdal sekiranya orang yang berqurban itu memakan sedikit daripada daging qurbannya. Haram diberikan daging qurban kepada orang kafir samada dalam keadaan mentah ataupun masak. Harus disedekahkan kepada orang kaya. Qurban nazar haram dimakan dagingnya oleh orang yang bernazar.

Perkara sunat ketika ibadah qurban

  1. Membaca basmallah atau takbir
  2. Selawat kepada Nabi
  3. Menyembelih pada waktu siang
  4. Memilih binatang yang gemuk dan sihat
  5. Binatang hendaklah dibaringkan di atas rusuk kiri dan mengadap kiblat
  6. Orang yang  berqurban makan sebahagian daging qurban
  7. Menggunakan alat sembelihan yang tajam

Hikmah-hikmah qurban

  1. Melatih diri sanggup berkorban pada perkara kebaikan
  2. Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak
  3. Tanda kesyukuran di atas nikmat pemberian Allah
  4. Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah
  5. Mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia boleh memupuk semangat pengorbanan terhadap diri dan masyarakat.
  6. Menggembirakan fakir miskin dengan menikmati juadah daging qurban
  7. Merapatkan silaturrahim di kalangan umat Islam

Petikan dari http://qurban-aqiqah.jim.org.my/blog/

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *