Perkongsian Ir Dr Selamat di Surau Al-'Izzah

Taman Samudra, 13 Julai 2010 – Sesi perkongsian bersama Ir Dr Selamat Aliman, salah seorang aktivis dalam kapal Mavi Marmara dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di Surau Al-‘Izzah telah dihadiri juga oleh ahli kariah masjid dan surau sekitar Taman Samudra.

Ir Dr Selamat yang juga merupakan Pengerusi JK Perhubungan Antarabangsa JIM, Timbalan Pengarah PACE dan Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif memulakan perkongsian beliau dengan mengimbau sejarah keganasan Israel ke atas rakyat Palestin sejak 6 dekad yang lepas. Sebelum penayangan video “Mavi Marmara”, Dr Selamat juga menceritakan secara ringkas latarbelakang misi bantuan Lifeline for Gaza yang melibatkan lebih 40 negara di seluruh dunia yang turut disertai oleh beliau bersama 11 rakyat Malaysia yang lain.

Dalam sesi berikutnya, Dr Selamat telah menceritakan bagaimana serangan dilakukan oleh komando rejim Zionis ke atas kapal Mavi Marmara serta bagaimana para aktivis cuba mempertahankan kapal daripada ditawan oleh penceroboh tanpa menggunakan senjata. “Tidak kurang 30kg senjata dan alatan mempertahankan diri termasuk penutup muka yang dipakai oleh setiap komando pada badan mereka… yang jelas mereka ni memang penakut!”, kata Dr Selamat sekaligus melenyapkan tanggapan beliau sebelum ini bahawa tentera Israel adalah seorang berani dan terlatih.

Seterusnya Dr Selamat menceritakan bagaimana mereka dikumpulkan dalam satu ruangan dengan tangan diikat dalam keadaan bersesak-sesak selama lebih kurang 24 jam sebelum tiba di pelabuhan Ashdod. Oleh kerana tekanan daripada masyarakat antarabangsa yang kuat, rejim zionis Israel terpaksa membebaskan mereka dalam waktu yang singkat, walaupun pada mulanya mereka sudah bersedia untuk menghadapi tahanan dalam penjara Israel dalam tempoh yang lama.

Pada akhir majlis, hadirin disarankan melakukan beberapa tindakan iaitu:  Mendoakan kejayaan umat Islam di Palestin, memberi sumbangan (tenaga dan kewangan) dan memboikot 4 produk utama iaitu CocaCola, McD, L’Oreal dan Nestle. Hadirin juga dimaklumkan bahawa laporan misi bantuan kemanusiaan dengan kapal Mavi Marmara yang disediakan oleh IHH (Turkish IHH Humanitarian Relief Foundation) boleh dimuat turun di portal www.surau-alizzah.com atau  di sini.

Kutipan sumbangan yang diperolehi sebanyak RM750.00 dan jualan barangan Palestin sebanyak RM196.00.

Laporan oleh: Abu Syamil

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *